THE CAGE PUSAT SUKAN ‘UNDER ONE ROOF’ PERTAMA DI JOHOR


The Cage by MSNJ. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Penubuhan ‘The Cage by MSNJ’ pada 2017 mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam memastikan negeri ini bukan sahaja tidak ketandusan pelapis baharu dalam industri sukan tetapi juga melahirkan atlet yang mampu menjulang nama Johor dipersada sukan domestik mahupun antarabangsa.

 

Buktinya, tidak sampai lima tahun ‘The Cage’ diwujudkan, pusat sukan ini ternyata berjaya membawa perubahan kepada industri sukan Negeri Johor apabila buat kali pertama Kontinjen SUKMA Johor dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 pada 2022, sekali gus menamatkan rentetan kemarau sepanjang 36 tahun penganjuran temasya sukan berprestij negara itu.

 

Berkonsepkan ‘Under One Roof’, The Cage menjadi pusat sukan pertama di Johor yang mempunyai kelengkapan dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan sains sukan dan kemudahan seperti gim, bilik konsultasi, pakar psikologi dan nutrisi, pusat data atlet serta bahagian pemulihan khas untuk atlet Johor, sekali gus menjadikannya ianya satu pendekatan berbeza dengan negeri-negeri lain.

 

Inisiatif yang diilhamkan oleh MSNJ ini dilaksanakan setelah mengambil kira kesukaran atlet Johor untuk mendapatkan kemudahan perkhidmatan sains sukan apabila Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di seluruh negara ditutup pada 2018 disebabkan oleh masalah kekangan kewangan.

 

Selain itu, fokus utama The Cage adalah untuk mendidik dan menyediakan perkhidmatan sains sukan yang boleh diaplikasikan dalam usaha meningkatkan prestasi atlet dalam pelbagai disiplin sukan serta menanam sikap tanggungjawab kepada jurulatih.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor