MAHU JADIKAN SRBJ YANG TERBAIK DI MALAYSIA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor beriltizam untuk terus memperkasakan bidang pendidikan Johor dengan melaksanakan transformasi menyeluruh terhadap Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dan berazam mahu menjadikannya sebagai salah satu institusi pendidikan contoh terbaik di Malaysia pada masa akan datang.
Usaha transformasi itu akan melibatkan penambahbaikan besar-besaran dari aspek infrastruktur dan fasiliti pendidikan, bermula dengan kerja menaik taraf pintu masuk sekolah yang lebih moden di mana ia turut merangkumi pembinaan ruang menunggu yang kondusif serta sistem pagar automatik.
SRBJ juga akan dinaik taraf dengan bilik darjah berkonsepkan digital serta interaktif, selain bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang lengkap dengan teknologi canggih serta mempunyai ruang reka bentuk dan teknologi yang dilengkapi sistem Kecerdasan Pembuatan (AI) dan Internet of Things (IoT).
Selain itu,dewan serbaguna sekolah di SRBJ pula akan dilengkapi skrin multimedia LED, sistem bunyi pintar serta pencahayaan efisien. Ruang bilik guru dan staf pula turut mendapat perhatian menerusi penyediaan hab kerjasama berteknologi tinggi dan ruang rehat yang selesa.
Fasiliti pembelajaran luar kelas juga akan turut dilengkapi kemudahan WiFi, sistem solar dan pengurusan pintar, sekali gus mampu menjadikannya sebagai platform terbaik untuk pelbagai aktiviti pelajar, selain ia menggambarkan pendekatan menyeluruh dalam membentuk ekosistem pendidikan holistik.
Transformasi ini bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. Ia secara tidak langsung membuktikan iltizam tinggi Kerajaan Johor dalam memacu SRBJ sebagai model pendidikan masa depan, seterusnya meletakkan Negeri Johor di hadapan dalam pembangunan modal insan bertaraf dunia.
YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#SekolahRintisBangsaJohor
#SRBJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor