TAMAN EKO-RIMBA SUNGAI BANTANG DAN TREK PENDAKIAN GUNUNG BEKOK DITUTUP
ISKANDAR PUTERI — Taman Eko-Rimba Sungai Bantang dan trek pendakian Gunung Bekok, Labis ditutup kepada orang ramai bermula semalam.
Penutupan pusat rekreasi itu terpaksa dilakukan berikutan keadaan cuaca tidak menentuk berikutan ketibaan musim tengkujuh.
Dalam notis penutupan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor itu memaklumkan segala aktiviti mandi-manda, perkelahan dan pendakian di kedua-dua lokasi berkenaan adalah dilarang dan ditutup kepada pengunjung awam sehingga ke tarikh yang diberitahu kelak.
Sebelum ini, pihak berkuasa perhutanan berkenaan turut menutup Taman Eko-Rimba Gunung Pulai 1 dan Gunung Pulai 2 berkuatkuasa pada 25 Oktober lalu.
Penutupan ini terpaksa dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berikutan musim tengkujuh.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan peralihan monsun yang berlaku di rantau negara ini bermula 3 Oktober lalu hingga November.
Fasa peralihan monsun yang turut menandakan berakhirnya monsun Barat Daya ini akan menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan lebat, ribut petir dan angin kencang.
Monsun Timur Laut pula dijangka bermula pada pertengahan November ini diramal turut menyebabkan berlakunya keadaan ribut petir, hujan lebat berterusan dan angin kencang.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor