BERTINDAK SEGERA, PANTAU SITUASI – TMJ


Tangkap layar ciapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sudah menghubungi Ranhill SAJ berhubung gangguan bekalan air tidak terancang berikutan kejadian paip pecah di Persiaran Seri Alam, dekat Masai.

Tunku Ismail dalam ciapan di akaun Twitter Baginda bertitah kepada pihak Ranhill SAJ untuk bertindak dengan segera dan memantau situasi.

Dalam ciapan tersebut, Baginda Tunku turut memuatnaik poster hebahan pemakluman gangguan bekalan air terancang selain tangkap layar penjelasan permasalahan dan tindakan segera yang diambil oleh Ranhill SAJ.

“Ini punca masalah tersebut. Saya telah berhubung dengan pihak SAJ dan suruh bertindak dengan segera dan ‘monitor’ situasi tersebut. Salam,” titah Baginda dalam ciapan yang buat, hari ini.

Terdahulu, dalam ciapan berasingan, Tunku Ismail telah dimaklumkan menerusi Twitter oleh rakyat mengenai gangguan bekalan air yang sudah memasuki hari ketiga sehingga menjejaskan aktiviti harian dan ketiadaan bantuan bekalan lori tangki air.

Baginda Tunku dalam ciapan balas bertitah mengucapkan terima kasih atas maklumat tersebut dan menyiasat serta menyelesaikan masalah dihadapi.

Pada 28 Oktober lalu, Ranhill SAJ dalam satu kenyataan memaklumkan berlakunya kejadian paip pecah berukuran diameter 1200mm dan 1000mm berhampiran Persiaran Seri Alam, dekat Masai.

Kejadian itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak terancang melibatkan beberapa kawasan di Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Pihak Ranhill SAJ memaklumkan sudah mengenalpasti dua zon pecahan kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tersebut iaitu Plentong dan Tanjung Langsat.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor