KERAJAAN JOHOR PASTIKAN KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI PENGERANG TERKAWAL DAN KEMBALI PULIH

Kerajaan Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi mengambil pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan insiden kejadian kebakaran di kawasan tanah gambut di Pengerang, Kota Tinggi dapat dikawal sepenuhnya serta kembali pulih dengan selamat. | Foto Pejabat Daerah Kota Tinggi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi mengambil pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan insiden kejadian kebakaran di kawasan tanah gambut di Pengerang, Kota Tinggi dapat dikawal sepenuhnya serta kembali pulih dengan selamat.
Bagi tujuan itu, antara langkah strategik seperti pembinaan ‘fire breaker’, penggunaan pam air serta perancangan operasi ‘water bombing’ menggunakan helikopter turut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan usaha memadam kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut yang sememangnya agak sukar dikawal.
Usaha pemadaman kebakaran yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai Ketua Operasi turut menerima sokongan aset daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah memasang peralatan pengukuran Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memantau kualiti udara semasa di lokasi kejadian, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan memastikan kebajikan mangsa yang terjejas dengan kejadian luar jangka itu sentiasa terperlihara melalui pengagihan ‘Starter Kit Bencana’ dan penyediaan makanan awal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mula dibuka sejak semalam.
Sehingga jam 12 tengah hari ini, Kerajaan Johor telah mengaktifkan dua PPS di Pengerang iaitu PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai yang kini menempatkan 89 penduduk daripada 28 keluarga dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal yang turut menempatkan 35 penduduk daripada 17 keluarga.
Terdahulu, kejadian kebakaran yang bermula pada 23 Januari lalu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas dan kering serta angin kencang yang mencetuskan kebakaran bawah tanah gambut di kawasan Lot 987, Lot 1015, Lot 1018 dan Lot 1017 di Mukim Pantai Timur, Pengerang.
Keadaan ini telah menyebabkan asap tebal berjerebu mula meliputi ke beberapa kawasan penempatan penduduk iaitu Taman Bayu Damai, Kampung Jawa, Kampung Sungai Kapal serta Kampung Langkah Baik.
#JohorSafeZone
#Pengerang
#Kebakaran
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



