USAH PANIK DENGAN TIBI, SAMBUT TAHUN BAHARU CINA DENGAN SEDERHANA

Seiring dengan musim perayaan yang melambangkan kesejahteraan dan kemakmuran ini, orang ramai digalakkan supaya menyambut Tahun Baharu Cina dengan sederhana, mengamalkan penjagaan kesihatan asas serta mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit termasuk Tibi. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri — Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, masyarakat Johor khususnya di daerah Kota Tinggi dan Pontian dinasihatkan supaya tidak bimbang terhadap penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi) kerana situasi semasa masih kekal terkawal dan terus dipantau rapi oleh pihak berkuasa kesihatan.
Kerajaan Johor bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh pemantauan serta mengambil langkah pencegahan menyeluruh bagi memastikan keselamatan kesihatan awam sentiasa terpelihara, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.
Untuk mengekang penularan penyakit tersebut, KKM juga telah melaksanakan saringan kontak rapat secara aktif bagi mengesan jangkitan lebih awal, selain memastikan individu yang terlibat menerima rawatan dan pemantauan susulan sehingga disahkan bebas sepenuhnya daripada jangkitan terbabit.
Tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang telah lama dikenali dan mempunyai rawatan berkesan. Justeru, pematuhan kepada nasihat perubatan serta pengambilan ubat mengikut jadual mampu memastikan pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya.
Selain itu, kes yang dikenal pasti berlaku di Kota Tinggi melibatkan penularan dalam kalangan individu rapat berdekatan, manakala pemantauan berterusan sehingga tempoh dua tahun akan dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan prosedur kesihatan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Seiring dengan musim perayaan yang melambangkan kesejahteraan dan kemakmuran ini, orang ramai digalakkan supaya menyambut Tahun Baharu Cina dengan sederhana, mengamalkan penjagaan kesihatan asas serta mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit termasuk Tibi.
Pendekatan bersepadu antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam melindungi kesihatan Bangsa Johor agar rakyat dapat menyambut perayaan dalam suasana selamat, harmoni dan sejahtera.
#JohorSafeZone
#TahunBaharuCina
#KitaJagaKita
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


