KARNIVAL KESENIAN ZAPIN JOHOR MELAHIRKAN GENERASI MUDA SEBAGAI PEWARIS WARISAN

YBrs. Puan Nor Wahidah Md Kassim, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) selaku wakil Pengarah Pendidikan Johor menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Kesenian Zapin Negeri Johor 2026 di SK Taman Muhibbah, Senai semalam.
#Kulai – Seramai 176 murid dari 27 sekolah di daerah Kulai, Pontian, Johor Bahru dan Kluang menyertai Karnival Zapin Negeri Johor yang diadakan bagi memupuk kesedaran generasi muda untuk mengenali serta menghayati seni Zapin sebagai khazanah warisan yang perlu dipelihara dan diwarisi.
Program yang julung kali dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muhibbah, Senai yang berlangsung sejak 18 hingga 20 Ogos lalu ini turut mendapat sokongan kerjasama daripada Creative Children Malaysia (CCM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Karnival ini turut menjadi platform penting seiring dengan usaha ke arah aspirasi pencalonan Zapin Malaysia di bawah Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaaan (Intangible Cultural Heritage-ICH) United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Inisiatif penganjuran karnival ini bukan sekadar pertandingan atau persembahan semata-mata, malah ia juga turut menjadi sebuah pengalaman pendidikan budaya yang menghubungkan generasi muda khususnya di Johor secara langsung dengan seni Zapin. Ia termasuk perkongsian ilmu, latihan, bimbingan daripada penggiat seni dan persembahan pentas.
Sementara itu pada pertandingan ‘Battle 1-on-1’ bagi pemilihan ‘Young Intangible Cultural Heritage (ICH) Ambassador’ menyaksikan Muhammad Aqif Najmi Fahizamhakim dari SK Kampung Sawah, Pekan Nanas, Pontian dan Nur Arissa Qistina Mat Zalan daripada SK Bandar Putra, Kulai muncul sebagai pemenang bagi Kategori Peserta Lelaki dan Perempuan Terbaik.
Terdahulu, YBrs. Puan Nor Wahidah Md Kassim, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) selaku wakil Pengarah Pendidikan Johor menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Kesenian Zapin Negeri Johor 2026 di SK Taman Muhibbah, Senai semalam.
Hadir sama ialah YBrs. Encik Azmi Wahid, Guru Besar SK Taman Muhibbah; YBrs. Encik Nik Faiz Nik Mohd Amin, Presiden Malaysian Craft Council (MCC) serta YBrs. Encik Arja Lee, Naib Pengerusi CCM.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#JPNJKulai
#ZapinJohor
#PembangunanBakat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


