UJIAN MENYELURUH RTS LINK PASTIKAN PERJALANAN SELAMAT

Walaupun RTS Link hanya mempunyai dua stesen, iaitu di Woodlands, Singapura dan Bukit Chagar, Johor Bahru, setiap perjalanan melibatkan pelbagai sistem yang perlu berfungsi secara serentak, termasuk tren, landasan, sistem isyarat dan infrastruktur bagi memastikan perjalanan sentiasa selamat dan lancar. | Foto RTSO
#IskandarPuteri – Keselamatan perjalanan dan pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru–Singapura akan terus diberi keutamaan menerusi pelbagai proses reka bentuk, pengujian dan pemeriksaan bagi memastikan tren serta sistem berkaitan dapat berfungsi dengan baik apabila perkhidmatan berkenaan mula beroperasi kelak.
Walaupun RTS Link hanya mempunyai dua stesen, iaitu di Woodlands, Singapura dan Bukit Chagar, Johor Bahru, setiap perjalanan melibatkan pelbagai sistem yang perlu berfungsi secara serentak, termasuk tren, landasan, sistem isyarat dan infrastruktur bagi memastikan perjalanan sentiasa selamat dan lancar.
Antara perkara yang diuji ialah jajaran jejambat yang mempunyai kecerunan tiga peratus, iaitu kecerunan maksimum yang dibenarkan bagi operasi RTS Link, apabila tren perlu bergerak menuruni jajaran dari bahagian tertinggi jejambat menuju ke aras tanah sebelum berhenti di stesen.
Keadaan ini memerlukan sistem landasan, brek dan sistem isyarat berfungsi dengan tepat bagi memastikan tren bergerak pada kelajuan yang selamat serta dapat berhenti dengan lancar dan tepat di platform stesen.
Faktor cuaca turut diambil kira dalam proses pengujian kerana keadaan hujan boleh mengurangkan cengkaman antara roda tren dengan landasan, sekali gus mempengaruhi pergerakan tren ketika memecut dan membrek.
Ujian dalam pelbagai keadaan cuaca penting bagi memastikan tren dan keseluruhan sistem RTS Link dapat beroperasi dengan selamat serta memberikan perjalanan yang selesa dan boleh dipercayai kepada pengguna.
Usaha berkenaan turut melibatkan kerjasama daripada jurutera dan pasukan projek dari Malaysia dan Singapura, selain pelbagai pihak berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Land Transport Authority (LTA) Singapura, MRTS Malaysia, perunding sistem dan kontraktor pakej kerja.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Sdn Bhd (RTSO), Dr. Marzuki Ariffin, berkongsi mengenai proses kejuruteraan, pengujian dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang menjadi sebahagian daripada usaha memastikan RTS Link menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai.
#JohorSafeZone
#RTSLink
#RTSO
#JohorBahruSingaporeRTS
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


