KERAJAAN JOHOR PROAKTIF BANGUNKAN, PROMOSI GUNUNG LEDANG
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) proaktif dengan rancangan pembangunan dan strategi pemasaran bagi Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda) serta Taman Negara Johor Gunung Ledang (Air Terjun).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, antara strategi pemasaran dilaksanakan adalah dengan merancang program berimpak tinggi dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara yang dipromosi secara tidak langsung melalui hebahan media sosial individu terlibat.
Menurutnya, PTNJ juga telah menghasilkan video kawasan menarik melalui paparan khas bagi setiap taman termasuklah Gunung Ledang di laman rasmi Youtube perbadanan iaitu Johor National Parks.
“Antara kaedah lain seperti memasarkan produk pelancongan di Gunung Ledang melalui pameran-pameran tempatan dan antarabangsa yang telah disertai,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Gambir, Sahrihan Jani mengenai perancangan pembangunan dan strategi pemasaran bagi menjadikan Gunung Ledang sebagai destinasi utama pelancongan Johor.
Raven Kumar berkata, untuk perancangan 2023, penganjuran Karnival Gunung Ledang bersempena pembukaan kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang (Air Terjun) akan diadakan bagi menarik kemasukan pelawat.
“Karnival selama tiga hari akan memberi peluang kepada komuniti setempat dan menjana ekonomi bagi mempergiatkan lagi industri Tangkak.
“Tambahan lagi, cadangan penganjuran Gunung Ledang International Climbathon bagi menarik minat pendaki dari dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi aktiviti rekreasi di kawasan Gunung Ledang yang terkenal dengan aktiviti pendakian,” katanya.
Bagi perancangan pembangunan Taman Negara Johor Gunung Ledang (Air Terjun) pada tahun ini, ujarnya, melibatkan kerja menaik taraf kemudahan sedia ada seperti pembinaan tandas baru, pintu gerbang, kafe dan pemasangan sistem pagar automatik.
Manakala perancangan di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda) pula adalah menaik taraf kaunter pendaftaran bagi kemudahan pendaki.
“Perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 diharapkan akan dapat meningkatkan imej Taman Negara Johor serta memberi keselesaan kepada pengunjung yang akan datang ke Taman Negara Johor.
“Selain itu, PTNJ dalam proses untuk menyediakan satu dokumen Pelan Pembangunan Taman-Taman Negara Johor selama lima tahun, yang mana dokumen lengkap tersebut dilihat akan dapat meningkatkan imej taman negara,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor