EXCO KERAJAAN CADANG TAMBAH BAIK HSI
ISKANDAR PUTERI — Isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) perlu diatasi bagi kemudahan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon di Facebook rasminya, memaklumkan HSI memerlukan beberapa penambahbaikan berikutan jumlah pesakit yang berterusan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI.
“Keadaan di Jabatan Kecemasan dan Trauma memang sangat sibuk dan kemasukan pesakit untuk mendapatkan rawatan tidak berhenti. Selain kes ringan, ada juga beberapa kes kecemasan yang terus dimasukkan ke bilik kecemasan untuk rawatan serta merta.
“Saya juga cadangkan HSI menukarkan kerusi yang rosak dan menambah kerusi di Zon Hijau supaya pesakit dan warisnya dapat menunggu dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.
Terdahulu, Tian Soon yang lebih dikenali sebagai Ah Soon di laman Facebook mengadakan lawatan mengejut ke HSI pada semalam bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkenaan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail.
Tian Soon menambah, kerajaan negeri juga akan membawa cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memanjangkan operasi Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang terletak bersebelahan HSI bagi membolehkan kes bukan kecemasan dapat dirawat.
Ia sekali gus dapat mengurangkan masa menunggu pesakit dan meringankan beban petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI.
“Mereka (pesakit) juga tidak perlu menunggu lama di jabatan kecemasan dan pada masa sama usaha ini dapat meringankan beban Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI kelak,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor