JOHOR RUNBIKE CUP 2023 TARIK PENYERTAAN 250 ATLET CILIK
ISKANDAR PUTERI — Seramai 250 orang atlet cilik menyertai Kejohanan Johor Runbike Cup 2023 yang berlangsung di aras ‘rooftop’ Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata kejohanan yang julung kali diadakan itu membabitkan tujuh kategori.
Katanya, lebih memberangsangkan, kejohanan berkenaan berjaya menarik penyertaan atlet cilik dari seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura.
“Saya difahamkan kejohanan ini berjaya menarik penglibatan kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun dari seluruh negara termasuk Singapura. Sukan di peringkat akar umbi sememangnya menjadi penekanan sebagaimana yang sering dinyatakan oleh saya sebelum ini.
“Kejohanan ini boleh membantu terhadap pembangunan sukan khususnya pada peringkat akar umbi memandangkan ia bermula dari anak-anak kecil seawal usia dua tahun,” katanya di laman Facebook rasminya.
Terdahulu, Mohd Hairi menyempurnakan ‘Flag Off’ sebagai simbolik perasmian Kejohanan Johor Runbike Cup 2023.
Mohd Hairi berkata, selain memperkasakan institusi sukan di negara ini khususnya di Johor, penganjuran kejohanan sukan seumpama ini juga dilihat mampu menarik pelancong luar selain memacu aliran sosioekonomi.
“Dengan adanya kejohanan seperti ini, ia sekali gus memainkan peranan dari segi tarikan pelancong luar ke negeri selatan tanah air ini selain secara tidak langsung mampu menambah pergerakan aliran sosioekonomi di Johor,” ujarnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor