AGENDA JOHOR BERSIH BUKAN SEKADAR SLOGAN – MENTERI BESAR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyertai program Sungai Bersih @ Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, hari ini. | Foto MDJ Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Agenda Johor Bersih yang dilancarkan pada Julai tahun lalu adalah satu agenda serius dan bukan sekadar slogan atau ‘one-off’ semata-mata.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya tidak akan bekerja secara ‘hangat-hangat tahi ayam’ tetapi sebaliknya akan sedaya upaya menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku di Negeri Johor.

 

“Apabila saya lancarkan agenda ini, ramai pihak yang kata ini sekadar ‘one-off’… tetapi tidak tuan-tuan. Kerajaan Negeri akan melaksanakan tanggungjawab kami supaya apa yang dihasratkan boleh menjadi kenyataan.

 

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri juga memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan untuk memastikan agenda ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika berucap pada Program Sungai Bersih @ Sungai Skudai di Kampung Bakar Batu dekat sini, hari ini.

 

Onn Hafiz menambah, Kerajaan Negeri akan meningkatkan usaha membersihkan sungai-sungai di Johor dengan meletakkan perangkap sampah atau ‘log boom’ di lokasi yang telah dikenal pasti.

 

“Saya sarankan Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut sama membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai usaha meletak ‘log boom’ di 12 lokasi tumpuan (hotspot) serta perlu ada penyelenggaran setiap hari.

 

“Ini adalah satu tugas besar tetapi saya percaya jika semua pihak bekerjasama, kita dapat bersihkan sungai-sungai di Johor bermula dengan Sungai Skudai ini. Kita sasarkan Sungai Skudai ini bersih menjelang September ini,” tambahnya.

 

Untuk rekod, antara 12 lokasi hotspot yang telah dikenal pasti termasuk Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor