ADUN PALOH IKHTIAR SUMBANG PONDOK WAKAF DI HOSPITAL KLUANG


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han bersama Ahli Lembaga Pelawat ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi melihat keadaan semasa wad dan kemudahan asas. | Foto ihsan Facebook Lee Ting Han

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh akan menyumbang pondok wakaf kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dalam masa terdekat.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han berkata, sumbangan tersebut diusahakan bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan pelawat ketika menunggu.

 

“Saya ada sedikit pengalaman di Hospital ini di mana belum ada tempat menunggu yang sesuai di luar wad kecemasan, terutamanya pada waktu malam.

 

“Oleh itu, Pejabat Pusat Khidmat DUN Paloh akan menyumbang pondok wakaf kepada pihak Hospital dalam masa terdekat. Mudah-mudahan sumbangan ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada ahli keluarga pesakit,” katanya.

 

Terdahulu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Johor mengadakan lawatan bersama Ahli Lembaga Pelawat ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi melihat keadaan semasa wad dan kemudahan asas.

 

Ting Han memberitahu telah dimaklumkan oleh pengurusan hospital menerusi taklimat diadakan bahawa terdapat aset perubatan dan bukan perubatan yang diperlukan untuk kemudahan perkhidmatan kepada para pesakit.

 

“Perkara ini akan dibawa untuk perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon untuk tindakan susulan,” katanya.

 

Pada lawatan tersebut, beliau bersama Ahli Lembaga Pelawat menyampaikan sumbangan berupa kek kepada jururawat sebagai tanda penghargaan terhadap jasa yang diberikan.

 

“Saya ucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan yang diketuai oleh pengarah hospital, Dr. Mohamad Nizam Subahir atas perkhidmatan mereka kepada warga Daerah Kluang, termasuk warga DUN Paloh,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor