BEKALAN AIR DI GUGUSAN MURNI JAYA KIAN PULIH


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau keadaan semasa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Gangguan bekalan air di FELDA Bukit Permai, dekat Kulai, melibatkan Gugusan Murni Jaya yang menjejaskan persiapan dan sambutan Aidilfitri penduduk sebelum ini, kini semakin pulih selepas Kerajaan Negeri mengambil tindakan proaktif menyelesaikan isu berkenaan.

 

Bagi mengatasi isu berkenaan, pengoperasian ‘inline injection’ dilaksanakan melibatkan empat lori tangki disediakan oleh Ranhill SAJ Sdn. Bhd (Ranhill SAJ) untuk mendapatkan bekalan air tambahan melalui pili bomba bagi membekalkan kira-kira 40 tan kepada penduduk.

 

Susulan pengoperasian kaedah itu, penduduk Kampung Sri Muar telah menerima bekalan air sepenuhnya, namun terdapat segelintir penduduk di Kampung Agas, Kampung Sungai Sayong 1 dan Kampung Tersusun Murni Jaya masih lagi bergantung kepada lori tangki operator tunggal perkhidmatan air Johor itu.

 

Kerajaan Negeri turut memberi komitmen untuk menyelesaikan isu yang terjadi saban tahun dengan mengarahkan Ranhill SAJ mengemukakan pelan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang pada kadar segera demi kesejahteraan Bangsa Johor terutama ketika musim perayaan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri kawasan Bukit Permai, hari ini, melakukan lawatan susulan di FELDA Bukit Permai bagi meninjau keadaan semasa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor