ECERDC SOKONG HASRAT JOHOR JADI HAB MAKANAN NEGARA

Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB) di Mersing. | DMDJ Nurina Aisyah
#Mersing – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberi sokongan penuh kepada usaha Kerajaan Negeri Johor untuk muncul sebagai hab makanan di negara ini.
Ia termasuk usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan beberapa projek pertanian yang kini sedang giat dilaksanakan di sebelah Johor Timur termasuk Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV), Mersing yang bakal beroperasi bermula Oktober ini.
YBrs Encik Arizan Arifin, Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek ECERDC memberitahu sebelum ini pihaknya telah melakukan kajian perancangan dan telah mengenal pasti wilayah Pantai Timur secara menyeluruh, termasuk di Johor yang diyakini berpotensi besar dibangunkan menjadi hab makanan Malaysia.
Ia termasuk mengambil kira keperluan sesebuah lokasi dan bagi pembangunan JDV di kawasan seluas 600 ekar di Mersing ini, perhatian turut diberikan membabitkan kandang lembu, pusat pemprosesan susu serta ladang tanaman ‘fodder’ sebagai makanan ternakan yang membolehkan fasiliti berkenaan mampu beroperasi secara kendiri tanpa terlalu bergantung kepada bekalan luar.
Justeru, pemilihan Jemaluang sebagai tapak bagi projek JDV dibuat berdasarkan faktor keluasan kawasan yang mencukupi dan keadaan persekitaran hijau yang boleh menyokong kelestarian alam, sekali gus menandakan permulaan era baharu daerah berkenaan yang bakal dikenali sebagai hab tenusu Negeri Johor.
Operasi JDV yang akan dikendalikan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB) iaitu syarikat usaha sama antara Kulim (Malaysia) Bhd (KULIM) dan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. (A2FHSB) yang mempunyai tanggungjawab jangka panjang dalam membangunkan model perladangan satelit serta memacu industri hiliran berasaskan produk tenusu.
Melalui model ini, penternak di kawasan sekitar akan diberi insentif khusus bagi membantu mereka memperluaskan ternakan lembu yang akan disokong pusat pengumpulan dan pemprosesan susu di JDV, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penternak tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan susu negara ini.
Pihak ECERDC juga menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan pemilikan tanah yang telah membolehkan pembangunan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.
Komitmen Kerajaan Negeri turut terserlah menerusi penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan, mengenal pasti kelebihan atau kekurangan serta menyelesaikan setiap cabaran yang dihadapi secara berpasukan.
Projek JDV ini dijangka mula beroperasi secara berfasa bermula Oktober dengan kemasukan 1,000 lembu tenusu dari Australia dan pengendali projek ladang tenusu ini juga kini sedang memperkemas peralatan fasiliti operasi mereka dan seterusnya bersedia merealisasikan aspirasi Johor sebagai hab makanan negara serta memacu industri hiliran berasaskan produk tenusu di Malaysia.
#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#LembahTenusuJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor