ADUN LANTIKAN PERKUKUH KUALITI TADBIR URUS DAN DASAR NEGERI JOHOR

Selain memperkukuh kapasiti institusi Dewan Negeri, pendekatan ADUN lantikan tersebut turut dilihat mampu meningkatkan kualiti semak dan imbang melalui penelitian lebih mendalam terhadap implikasi sosial, ekonomi dan pentadbiran sesuatu dasar kerajaan negeri. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Pelaksanaan mekanisme Ahli Dewan Negeri (ADUN) lantikan dilihat mampu memperkukuh institusi Dewan Negeri Johor menerusi penyertaan golongan profesional, teknokrat serta pakar dalam pelbagai bidang dan seterusnya membantu proses penggubalan dasar kerajaan negeri yang lebih cekap.

 

Pendekatan terbaharu itu disifatkan Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd. Hamid, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat selari dengan keperluan pentadbiran moden yang semakin kompleks, khususnya melibatkan pelaburan, ekonomi digital, perubahan bandar dan teknologi masa kini.

 

Selain itu, langkah berkenaan dilihat berupaya membantu Kerajaan Negeri dalam mendepani cabaran sekuriti makanan yang semakin kompleks dan memerlukan kepakaran teknikal, penelitian menyeluruh serta penyelesaian berasaskan data bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan serta kesejahteraan rakyat terus terjamin.

 

Jelasnya, mekanisme tersebut juga berupaya menampung kelompongan dalam sistem pilihan raya sedia ada apabila terdapat kelompok berkepakaran tinggi yang tidak terlibat secara langsung dalam politik pilihan raya tetapi mempunyai pengalaman luas serta kepakaran tertentu untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

 

Melalui pelaksanaan ADUN lantikan, Dewan Negeri Johor tidak lagi hanya tertumpu kepada perbahasan politik kepartian semata-mata, sebaliknya turut diperkukuh dengan pandangan profesional yang lebih objektif, substantif dan berpandangan jauh demi kepentingan rakyat serta pembangunan Johor.

 

Langkah proaktif itu akan turut membuka ruang kepada tokoh dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, teknologi, perancangan bandar dan masyarakat sivil untuk terlibat secara langsung dalam proses legislatif negeri, sekali gus membantu menghasilkan dasar yang lebih praktikal serta inklusif.

 

Selain memperkukuh kapasiti institusi Dewan Negeri, pendekatan ADUN lantikan tersebut turut dilihat mampu meningkatkan kualiti semak dan imbang melalui penelitian lebih mendalam terhadap implikasi sosial, ekonomi dan pentadbiran sesuatu dasar kerajaan negeri.

 

Pelaksanaan ADUN lantikan juga dilihat selari dengan amalan tadbir urus moden yang menekankan elemen keterangkuman, keberkesanan institusi dan penglibatan kepakaran dalam proses membuat keputusan terutama membabitkan dasar kerajaan.

 

Namun, pelaksanaannya perlu disokong dengan mekanisme telus, berintegriti serta berasaskan merit bagi memastikan pelantikan yang dibuat kelak akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan mengukuhkan keyakinan awam terhadap institusi Dewan Negeri.

 

Antara elemen penting yang perlu diberi perhatian termasuk ketelusan proses pelantikan, kepelbagaian latar belakang calon, kebebasan bersuara serta penetapan prosedur operasi standard (SOP) dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas supaya fungsi ADUN lantikan benar-benar menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus kerajaan negeri.

 

Dewan Negeri Johor pada Khamis meluluskan pindaan Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 bagi membolehkan pelantikan lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya sebagai langkah memperkukuh institusi legislatif negeri dan tadbir urus kerajaan.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor