EQUINIX REALISASI PELABURAN DI JOHOR


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyempurnakan perasmian pembukaan Pusat Data IBX Johor JH1 Equinix di Taman Teknologi Nusajaya. | Foto ihsan YB Lee Ting Han

 

Equinix Inc. (Equinix), syarikat infrastruktur digital dunia tersenarai di Nasdaq, merealisasikan pembangunan pusat data International Business Exchange (IBX) baharu dinamakan JH1 di Taman Teknologi Nusajaya sekali gus meletakkan Negeri Johor sebagai destinasi pilihan pelaburan.

 

Melibatkan nilai pelaburan berjumlah AS$40 juta, pusat data IBX bertaraf dunia seluas 1,800 meter persegi itu akan menarik seterusnya menyokong permintaan syarikat global dalam industri berasaskan teknologi yang menjalankan perniagaan di negeri ini.

 

Pelaburan Equinix menjadi bukti kelebihan geografi Negeri Johor menjadi tarikan kepada syarikat berkaitan teknologi sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai lokasi berkelas dunia dengan potensi pembangunan yang cemerlang di rantau Asia Tenggara.

 

Kerajaaan Negeri percaya ledakan industri pusat data di Negeri Johor menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi, mengurangkan kebergantungan sektor tradisional dan membuka jalan baharu yang menguatkan daya tahan dalam persekitaran ekonomi semasa serta menjadi hab dinamik industri berasaskan teknologi.

 

Sebagai usaha mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan pengkomputeran awam, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan Equinix mengembangkan kewujudan mereka selain mengajak untuk bekerjasama dalam menarik dan meningkatkan kemahiran digital tenaga kerja tempatan.

 

Terdahulu, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir dan menyempurnakan perasmian pembukaan Pusat Data IBX Johor JH1 Equinix di Taman Teknologi Nusajaya, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor