HADIAH ISTIMEWA BUAT IBU BAPA


Sofea Aleisha See Muhammad Daniel See, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim meraih keputusan cemerlang meraih ‘straight A+’ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Tiada yang lebih istimewa buat Sofea Aleisha See Muhammad Daniel See, 18, apabila menghadiahkan keputusan cemerlang meraih ‘straight A+’ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 kepada kedua ibu bapa sebagai menghargai pengorbanan terhadap dirinya.

 

Malah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada 20 calon di Negeri Johor berjaya meraih keputusan A+ dalam semua mata pelajaran itu turut mendedikasikan kejayaan tersebut buat Allahyarham nenek tercinta, seorang pejuang kanser.

 

Kisah mengenai neneknya yang berjuang menghadapi penyakit itu menjadi pendorong bagi merealisasikan impian melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan seterusnya bergelar pakar onkologi sekali gus mahu mengubah stigma masyarakat bahawa kanser tidak boleh diubati.

 

Berkongsi mengenai kejayaan diraih, Sofea Aleisha tidak menyangka berjaya meraih keputusan 9A+ dalam peperiksaan SPM 2023 seperti disasarkan sejak berada di Tingkatan 4 kerana pernah gagal mengekalkan gred A+ untuk mata pelajaran Matematik Tambahan ketika peperiksaan percubaan.

 

Bagaimanapun, keputusan itu tidak meletakkan dirinya berada dalam keadaan tertekan, sebaliknya menjadi ‘wake-up call’ untuk memperbaiki kelemahan terhadap mata pelajaran terbabit dan usaha gigih berkenaan membuahkan hasil selepas menatap keputusan SPM 2023.

 

Selain memberikan tumpuan di dalam kelas dan rajin bertanya kepada guru serta tutor jika memerlukan bantuan, Sofea Aleisha juga sedaya upaya untuk menyelesaikan set soalan peperiksaan percubaan bagi semua mata pelajaran di samping mencari penyelesaian alternatif kepada soalan yang sukar.

 

Beliau turut berpesan kepada calon SPM Tahun 2024 supaya berani menghadapi peperiksaan tersebut dan sentiasa menjaga kesihatan dan pemakanan bagi mengelakkan diri daripada terlepas pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas menjelang hari peperiksaan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor