EXCO KERAJAAN JOHOR SANTUNI MANGSA KEBAKARAN


EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail hari ini, menyantuni mangsa kebakaran di premis Persatuan Orang Cacat Johor Bahru | Sumber Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI – EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail hari ini, menyantuni mangsa kebakaran di premis Persatuan Orang Cacat Johor Bahru.

 

Beliau yang juga ADUN Serom berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada mangsa selain merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

 

“Sedikit sumbangan juga saya berikan kepada mangsa-mangsa kebakaran ini. Terima kasih saya ucapkan JKM Negeri Johor yang pantas dalam menyantuni dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mangsa-mangsa tersebut,” katanya menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya.

 

Khairin-Nisa memaklumkan keseluruhan bangunan tersebut musnah dalam kejadian yang melibatkan lima mangsa secara keseluruhan, di mana empat daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

 

“Buat sementara waktu, mangsa kebakaran dalam keadaan yang baik ditempatkan di rumah koordinator persatuan OKU ini kecuali seorang yang telah mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah sebagai pesakit luar,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan Kotak Bencana serta menzahirkan harapan bantuan dan sumbangan disampaikan meringankan beban mangsa.

 

“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran dan berdoa agar mereka tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa,” katanya.

 

Hadir sama, Penolong Pengarah JKM Negeri Johor (Unit OKU dan Warga Emas), Noor Azliza Ismail; Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin serta Pengerusi Persatuan Orang Cacat Johor Bahru, Fuad Abu Talib.

 

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru, jam 7.53 pagi.

 

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mengesahkan rumah persatuan terbabit jenis separuh kekal telah terbakar 65 peratus dan tindakan operasi pemadaman dilakukan selain menghantar seorang mangsa yang mengalami kecederaan ke hospital.

 

Manakala empat lagi mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi dan tidak mengalami kecederaan. Operasi ditamatkan kira-kira jam 10.04 pagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor