EXCO KERAJAAN TANGANI ISU RUANG SOLAT DI SEKOLAH AGAMA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihak dimaklumkan berkenaan ketidakselesaan yang dialami oleh murid di Sekolah Agama Damai Jaya berikutan keadaan ruang solatnya yang terpaksa ditempatkan di bawah khemah di perkarangan sekolah itu. | Sumber foto: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kemudahan ruang solat yang selesa bagi setiap sekolah agama di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihak dimaklumkan berkenaan ketidakselesaan yang dialami oleh murid di Sekolah Agama Damai Jaya berikutan keadaan ruang solatnya yang terpaksa ditempatkan di bawah khemah di perkarangan sekolah itu.

 

Katanya, Sekolah Gred B yang mempunyai 11 kelas dan kini mempunyai 638 murid itu terpaksa menjadikan surau sekolah sedia ada sebagai kelas tambahan bagi menampung peningkatan jumlah murid di sekolah tersebut.

 

“Hal ini menyebabkan murid berkenaan hanya mampu beribadat dengan beralaskan tikar di perkarangan sekolah ketika hendak menunaikan solat.

“Saya sendiri merasakan bahang cuaca panas dan juga berasa kurang selesa ketika duduk antara dua sujud dengan hanya berhamparkan tikar gulung,” katanya di Facebook rasminya.

 

Mohd Fared memaklumkan sebagai inisiatif jangka masa pendek, beliau mencadangkan supaya ketebalan tikar akan dipertingkat melalui penambahan satu lagi lapisan bagi mewujudkan keadaan yang lebih selesa.

 

“Kemudahan kipas juga akan disediakan segera bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak kita yang solat di sini berikutan keadaan cuaca semasa yang agak panas.

 

“Sebagai langkah jangka sederhana juga, saya akan memastikan penempatan sebuah kontena bagi kegunaan kelas berserta prasarana yang lengkap sebagai ‘kelas sementara’ dalam masa terdekat bagi menampung isu kekurangan bilik darjah ini.

 

“Kebajikan dan keselesaan murid-murid perlu dijaga bagi mengekalkan semangat mereka untuk mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kelak,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor