KERAJAAN JOHOR TEKAD PASTIKAN TIADA LAGI RUMAH TERBENGKALAI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Kerajaan Negeri mempengerusikan mesyuarat PDRC di Kota Iskandar, semalam. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor komited bagi memastikan projek perumahan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Kerajaan Negeri akan memanggil pemaju yang gagal membina dan menyiapkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) untuk rakyat Johor.

 

“Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Reka Bentuk (PDRC) berperanan untuk menetapkan sasaran tempoh masa pemaju yang membina RMMJ serta mencari penyelesaian supaya mereka meneruskan projek yang tertangguh dan projek baru dengan kadar segera.

 

“PDRC juga akan memanggil pemaju yang gagal membina rumah mampu milik pada tahun-tahun sebelum ini,” tulisnya di Facebook rasminya selepas mempengerusikan mesyuarat PDRC di Kota Iskandar di sini, semalam.

 

Tambah Jafni, PDRC juga akan terus berperanan sebagai sebuah jawatankuasa yang memikul amanah Jihad Perumahan Mampu Milik Rakyat Johor.

 

Jafni turut memaklumkan, PDRC telah bertemu dengan 52 pemaju utama di Johor melibatkan Projek Perumahan Mampu Milik di sembilan daerah dan 13 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri.

 

“Sejak Jun 2022 hingga Mei ini, sudah 11 kali persidangan diadakan bagi memantau dan memastikan sasaran 21,139 RMMJ dapat dibina. Pemaju juga komited membina 13,666 unit rumah berharga RM150 ribu ke bawah.

 

“Sasaran tahun 2022 telah bejaya dilangkau dengan sebanyak 3,058 unit dibina melepasi 2,459 yang disasarkan. Pastinya 2,574 unit yang disasarkan pada tahun ini akan diusahakan untuk dicapai secara maksimum,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor