PEMBAKARAN TERBUKA MAKIN MENJADI-JADI DI ULU CHOH


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar melakukan pemeriksaan di kawasan pembakaran timbunan sampah di Ulu Choh.

 

ISKANDAR PUTERI– Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran timbunan sampah di Ulu Choh baru-baru ini hingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata pihaknya juga telah menerima banyak aduan daripada orang ramai khususnya penduduk setempat berkaitan masalah tersebut.

 

“Masalah pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di sini semakin menjadi-jadi. Ia menjejaskan kesihatan penduduk Kampung Baru Cina di Ulu Choh sejak kebelakangan ini.

 

“Pembakaran sampah sarap dalam kuantiti yang banyak telah mengeluarkan asap tebal dan akibatnya mengganggu penduduk di sekitar kawasan ini,” tulisnya di Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Raven Kumar turut melakukan tinjauan di lokasi pembakaran terbuka bagi mencari penyelesaian terhadap masalah itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

 

Dalam hantaran sama, Raven Kumar turut memaklumkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pejabat Daerah Johor Bahru dan pemilik tanah akan diwujudkan bagi menyelesaikan isu ini.

 

“Ia bagi memastikan kerja-kerja pembersihan sampah di tapak tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan dan pada masa sama dapat mencegah kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan kualiti udara serta membawa mudarat kepada masyarakat sekitar,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor