GENCATAN SENJATA DI GAZA MESTI DILAKSANAKAN SERTA MERTA


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Johor dan Malaysia mengulangi pendirian untuk terus bersolidariti kepada rakyat Palestin selain mengajak dunia menggesa gencatan senjata di Gaza sekali gus menamatkan kematian dan penderitaan mereka yang tidak berdosa.

 

Dalam membicarakan hala tuju dan strategi mengangkat negeri dan negara melangkah jauh ke hadapan, Kerajaan tidak akan sama sekali alpa dan leka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin khususnya di Gaza.

 

Kerajaan Negeri menggesa keamanan, keadilan dan kehidupan yang selamat diberikan kepada Palestin selain mahu Israel menghentikan tindakan rakus tidak ubah umpama haiwan yang dilakukan di Gaza.

 

Setelah 225 malam dihujani bedilan bom dan peluru bertali arus, Gaza kini menjadi tanah perkuburan bagi nyawa yang tidak berdosa walaupun Israel mendakwa bertindak untuk mempertahankan diri, namun hakikatnya kezaliman berterusan.

 

Penzahiran tersebut dibuat oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

Terdahulu, persidangan Dewan Negeri Johor disertai lapan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) warga Palestin selaku pemerhati yang turut menerima tepukan daripada Ahli Dewan Negeri Johor sebagai tanda sokongan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor