HSA JADI LOKASI PERTAMA ‘WELLNESS HUB’ DI FASILITI HOSPITAL KKM


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mudtafa (tengah) melihat aktiviti yang dilaksanakan di Wellness Hub Hospital Sultanah Fatimah, Johor Bahru / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

 

JOHOR BAHRU — Hospital Sultanah Aminah (HSA) menjadi fasiliti hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pertama mempunyai kemudahan ‘Wellness Hub’ yang akan menjadi pemangkin peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM sentiasa komited dalam membantu rakyat mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan supaya mereka boleh menjalankan aktiviti harian secara aktif.

Katanya, sehubungan itu KKM telah merangka satu pelan iaitu Tawaran Baharu KKM sebagai hala tuju kementerian merangkumi jangka masa pendek, sederhana dan panjang dengan inisiatif meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

“Salah satu inisiatif ini ialah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang mempunyai empat teras dan gabungan semua teras ini diterjemahkan menerusi penubuhan Wellness Hub yang mempromosi amalan cara hidup sihat, penyediaan perkhidmatan promosi kesihatan, kawalan kendiri kesihatan dan kebersihan persekitaran bagi mengurangkan beban penyakit akibat gaya hidup yang tidak sihat.

“Wellness Hub ini merupakan pusat sehenti yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti setempat. Ia tertumpu kepada pembinaan kemahiran melalui intervensi pembudayaan hidup sihat yang ditawarkan oleh KKM,” katanya pada Majlis Perasmian Wellness Hub HSA Johor Bahru di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr Aman Rabu.

Dr Zaliha berkata, KKM telah menyediakan 31 Wellness Hub yang sedang beroperasi sepenuhnya di bandar dan luar bandar seluruh negara yang menjadi antara kaedah KKM untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang peka serta prihatin terhadap kesihatan sendiri.

“Wellness Hub HSA yang dibangunkan khusus untuk komuniti Johor Bahru merupakan yang pertama di fasiliti hospital milik KKM. Ia diharap dapat membina upaya komuniti supaya bertanggungjawab ke atas tahap kesihatan kendiri dan mengurangkan faktor risiko penyakit.

“Selain itu, Wellness Hub HSA juga telah melaksanakan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Nenas Malaysia, Jabatan Pertanian Johor, Persatuan Calisthenic & Street Workout Negeri Johor, Kelab Sukan Kecergasan Perdana Aerofit dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya.

Beliau berkata, pelbagai perkhidmatan dan program intervensi disediakan di Wellness Hub HSA ini yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti setempat dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Antara program yang ditawarkan ialah aktiviti fizikal dan senaman berjadual, intervensi pengurusan berat badan (IFitEr), perkhidmatan berhenti merokok serta perkhidmatan terapi minda sihat dan resilien.

“Selain itu terdapat juga preskripsi senaman melalui klinik senaman, penilaian risiko kesihatan (PSRK) dan ujian kecergasan, perkhidmatan cara hidup sihat secara digital seperti pengurusan berat badan secara dalam talian dan aktiviti jangkauan kepada komuniti berdekatan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor