IMYES, IMSKILL BANTU 600 USAHAWAN BELIA JANA EKONOMI


Gambar hiasan. | Foto arkib MDJ

 

Hampir 600 usahawan belia Johor menyertai Program Iskandar Malaysia Youth Entrepreneurship Scheme (IMYES) dan Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (IMSKILL) dilaksanakan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bersama Iskandar Youth Hub Sdn. Bhd. (HAB) yang telah meningkatkan perniagaan peserta serta merangsang perkembangan ekonomi tempatan.

 

Melalui geran dan latihan diberikan, usahawan belia berkenaan berpeluang memenuhi keperluan setempat dan memberi perkhidmatan serta menyediakan produk kepada para pelabur sekali gus memastikan rakyat dan ekonomi tempatan juga meraih limpahan manfaat daripada pembangunan pesat wilayah Iskandar Malaysia termasuk menerusi inisiatif IRDA itu.

 

Diperkenalkan pada tahun 2021, IMYES menyokong usahawan belia yang terkesan pandemik COVID-19 dengan menyediakan geran modal permulaan sebanyak RM5,000 atau RM10,000 untuk pembelian peralatan dan stok bahan mentah, pemasaran mahupun pendigitalan selain enam kelas keusahawanan dan elaun latihan di mana seramai 299 peserta sudah menerima manfaat sepanjang pelaksanaanya.

 

Manakala program IMSKILL diperkenalkan pada tahun sama bertujuan membantu usahawan belia menambah pendapatan melalui latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan perubahan kemahiran (reskilling) di mana sejak tahun 2021, seramai 322 peserta menerima pelbagai latihan kemahiran antaranya gunting rambut, pembuatan pastri, barista serta insaniah.

 

Menerusi IMYES dan IMSKILL, kerjasama IRDA dan HAB menterjemahkan komitmen dalam memberdayakan belia dan mendorong semangat keusahawanan di Iskandar Malaysia menerusi penyediaan sokongan, sumber mahupun peluang yang diperlukan seterusnya menyediakan masa depan lebih cerah kepada usahawan muda serta rangsangan ekonomi tempatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor