WAJAR JOHOR TERIMA BERITA BAIK DALAM BELANJAWAN 2024


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dato’ Ir. Hasni Mohammad memberitahu Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, telah memberikan penekanan terhadap pelan rasionalisasi subsidi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

PROJEK pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta diumumkan dalam Belanjawan 2024 disifatkan sebagai tepat pada masanya.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dato’ Ir. Hasni Mohammad dalam satu temubual menjelaskan kewajaran untuk keperluan Johor diberikan perhatian dalam belanjawan termasuklah jaringan infrastruktur jalan raya.

 

Ini kerana Johor merupakan negeri yang berjaya menarik pelaburan yang besar dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan peratusan yang besar malah merekodkan pelaburan tertinggi pada tahun lalu.

 

Selain itu, Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, yang menekankan pelan rasionalisasi subsidi juga dilihat sebagai langkah yang wajar.

 

Penekanan diberikan jelas menunjukkan bahawa peri pentingnya subsidi lebih RM81 bilion yang perlu ada rasionalisasi supaya menjurus kepada golongan yang betul-betul layak mendapat subsidi sekali gus dapat memastikan tidak berlakunya ketirisan.

 

Manakala langkah kerajaan memperluaskan pelepasan cukai dan pemberian insentif kepada bidang-bidang yang difikirkan sesuai dalam Belanjawan 2024 juga mampu merancakkan aktiviti ekonomi negara secara holistik.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor