PELAPORAN, DAPATAN BERKAITAN MODAL INSAN PERLU DIANGKAT KE PERINGKAT MMK


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelaporan dan hasil dapatan berserta cadangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor pada Selasa, perlu diangkat ke peringkat Kerajaan Negeri untuk diambil tindakan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tiga agensi membuat pembentangan dalam mesyuarat itu iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Menurutnya, antara perkara dibangkit dan dibincangkan secara bersama adalah mengenai isu gaji minimum, tukaran mata wang Singapura menarik minat anak muda Johor bekerja di negara jiran serta data raya lebih spesifik yang boleh dikongsi bersama.

 

“Dalam rumusan dan ucapan penutup, saya selaku EXCO Sumber Manusia Negeri Johor menegaskan pelaporan serta pemakluman hasil dapatan serta cadangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ini perlu diangkat ke peringkat mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor bagi membolehkan tindakan dapat dibuat di peringkat Kerajaan Negeri Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Hadir dalam mesyuarat anjuran Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor selaku Sekretariat Jawatankuasa Pemandu adalah Pengurus Besar Unit SMI Johor, Tazrina Ahmad; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Mohd Shahrin Rahmat serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

 

Selain itu, turut diadakan penyerahan watikah lantikan kepada ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor