KERAJAAN JOHOR LAKSANA STRATEGI LANCARKAN PERGERAKAN PINTU SEMPADAN


YAB Dato’ Onn Hafiz, Menteri Besar Johor ketika Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MEDKOM

 

Kerajaan Johor tidak pernah sesekali berpeluk tubuh tetapi sebaliknya akan terus bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran pergerakan keluar masuk di pintu masuk sempadan negara di negeri ini dan seterusnya memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 Bangsa Johor yang mencari rezeki di negara jiran.

 

Komitmen itu diikrarkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menerusi beberapa strategi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memudahkan pergerakan terutamanya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

Antara langkah diambil di CIQ BSI termasuklah mewujudkan laluan kontra di kedua-dua arah dewan penumpang yang membolehkan sebanyak 16 kaunter tambahan dibuka serta penggabungan membabitkan kaunter urusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan proses ‘Touch N Go’ yang dilihat mampu menjimatkan masa proses urusan berkaitan dokumentasi.

 

Selain itu, pelawat dari 11 negara yang menggunakan Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) juga telah menikmati kemudahan laluan ‘auto gate’ di dewan penumpang bas berbanding kaunter laluan manual sebelum ini, sekali gus mempercepatkan proses imigresen dan melancarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan.

 

Bagi melancarkan aliran keluar masuk di CIQ KSAB pula, laluan kontra di zon kereta telah diwujudkan termasuk implementasi kaunter hibrid yang membolehkan kaunter pemeriksaan kereta turut dapat dijadikan sebagai kaunter pemeriksaan motosikal terutamanya pada waktu puncak serta bagi tujuan penggunaan MDAC.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz, Menteri Besar menjawab soalan yang dikemukakan YB Liew Chin Tong, Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan Perling dan YB Liow Cai Tung, ADUN kawasan Johor Jaya berkenaan usaha Kerajaan Negeri memudahkan pergerakan keluar masuk antara Johor dan Singapura pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor