KERJA BAIK PULIH LEBUHRAYA PASIR GUDANG DI FASA AKHIR – MB
Aduan kesesakan yang berlaku akibat daripada kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang, mendapat perhatian daripada Kerajaan Johor yang sentiasa prihatin terhadap keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Terdapat 23 kerja pembaikan jalan sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang. Kerja-kerja baik pulih ini sudah berada di fasa akhir, dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini,” kata Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Beliau yang mengadakan turun padang turut memohon pengguna untuk menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan iaitu:
Pertama, dari Johor Bahru ke Pasir Gudang dan dari Pasir Gudang ke Johor Bahru – keluar melalui Jalan Pandan (FT03) dan susur Jalan Rinting, dan melalui Jalan Masai Lama (J10).
Kedua, dari Senai ke Ulu Tiram – keluar melalui susur Bandar Dato Onn, keluar Adda Height, dan melalui Taman Daya, melalui Mount Austin, keluar susur Aeon Tebrau.
Ketiga, dari Skudai ke Ulu Tiram – keluar susur Angsana Mall, melalui Jalan Tampoi dan keluar Kampung Ubi Baru.
“Semoga segala inisiatif dalam menambahbaik infrastruktur yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat, sekali gus memberi impak positif kepada Bangsa Johor dari segi kualiti kehidupan seharian,” kata beliau.
Tambah Menteri Besar lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat garisan jalan sementara bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku bagi jangka masa pendek selain diminta meneliti isu ini dan mendapatkan penyelesaian terbaik bersama pihak konsesi.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor