PUSAT KAJIAN IDO FOKUS LAHIR PEMIMPIN MUDA INOVATIF


YBrs. Gadaffie Abd. Aziz, Pengarah IDO berucap pada perasmian Pusat Kajian IDO (IDORC) di Afiniti Medini, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri menerusi Institut Dato’ Onn (IDO) mengorak langkah menubuhkan sebuah pusat kajian berperanan melahirkan generasi pemimpin muda bertaraf nasional menjelang tahun 2030.

 

YBrs. Gadaffie Abd. Aziz, Pengarah IDO memaklumkan Pusat Kajian IDO (IDORC) membantu institut berkenan menerokai idea segar dan kemahiran teknologi terkini untuk pembangunan pemimpin muda.

 

Antara kajian baharu sudah dihasilkan adalah kepentingan pembelajaran semula kemahiran ‘skill relearn’ yang menjadi sebahagian modul pembelajaran dalam melahirkan belia berinovatif.

 

Selain itu, IDO juga kini fokus menjadi institusi kepimpinan berimpak tinggi menerusi pelaksanaan ‘signature program’ iaitu Onn Leadership Accelerator (OLA), Johor Apprentice, Skill Enhancement dan Dewan Muda Johor.

 

Penubuhan IDORC merupakan inisiatif Program Kemahiran Kepimpinan di bawah strategi Kepimpinan Orang Muda Johor dalam Teras Keenam : Orang Muda, Belanjawan Johor 2024 yang memanfaatkan kuasa analisis data menggunakan kepintaran buatan (AI).

 

Terdahulu, perasmian IDORC telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Afiniti Medini, Iskandar Puteri.

 

Hadir sama, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YB Dato’ On Jabar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor