MUHAMMAD SHAH FIRDAUS, NURUL SYASYA NADIAH DINOBAT OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI JOHOR 2023


Jaguh sukan berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom diumumkan sebagai Olahragawan Negeri Johor 2023. | Foto MDJ Nurina Aisyah

Jaguh sukan berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan atlet menembak Nurul Syasya Nadiah Arifin diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negeri Johor 2023.

 

Pemilihan Muhammad Shah Firdaus adalah berdasarkan rekod pencapaian terbaiknya dalam arena sukan berbasikal di Sukan Komanwel Birmingham 2022, sekali gus turut mengulangi kejayaannya sebelum ini yang turut dinobatkan sebagai Olahragawan Johor pada 2019.

 

Sementara itu, kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2022 dan keunggulannya dalam beberapa siri sukan menembak telah meletakkan Nurul Syasya sebagai Olahragawati Negeri Johor pada edisi ke-30 kali ini.

 

Kedua-dua jaguh sukan yang masing-masing berasal dari Muar dan Batu Pahat itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM7,000 yang disampaikan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Anugerah Sukan Johor ke-30 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, malam tadi.

 

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menjadikan negeri Johor salah satu kuasa sukan baharu tanah air.

 

Ia termasuklah inisiatif Anugerah Sukan Johor yang menjadi medan terbaik dalam usaga menghargai jasa atlet, jurulatih dan penggerak sukan di atas sumbangan yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing.

 

Ia secara tidak langsung bukan sahaja mengharumkan nama Johor di persada sukan tanah air dan antarabangsa, tetapi turut membantu menaikan imej negara di mata kuasa sukan dunia yang lain.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor