PENGGUNAAN RACUN CHLORPYRIFOS DIHARAMKAN MULAI 1 MEI 2023


Jabatan Pertanian Negeri Johor akan mengharamkan penggunaan racun jenis ‘Chlorpyrifos’ dalam semua kegiatan pertanian di negeri ini mula 1 Mei ini / Gambar Ihsan Jabatan Pertanian Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Pertanian Negeri Johor akan mengharamkan penggunaan racun jenis ‘Chlorpyrifos’ dalam semua kegiatan pertanian di negeri ini mula 1 Mei ini.

Ia berikutan kandungan dalam racun kawalan makhluk perosak tanaman terbabit didakwa memberi kesan toksik kepada manusia, lebah, avian, ikan, alam sekitar dan sumber air.

Dalam kenyataan secara infografik di laman sosial rasminya, Jabatan Pertanian Negeri Johor menegaskan kandungan aktif dalam racun Chlorpyrifos juga mempunyai kesan residu dalam hasil pertanian yang boleh menjejaskan keselamatan makanan.

Malah dalam kenyataan itu turut menjelaskan penggunaan racun berkenaan juga telah diharamkan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada 2020 dan Australia pada tahun sebelumnya.

Sekatan penggunaan racun kawalan makhluk perosak berkenaan turut dilaksanakan di Singapura bermula pada 2009 dan Afrika Selatan pada 2010.

Justeru, golongan petani perlu mengelakkan penggunaan racun kawalan makhluk perosak jenis berkenaan di kawasan pertanian mereka dan boleh menggunakan alternatif lain yang lebih selamat.

Sehubungan itu, komuniti pertanian boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah atau melayari laman sesawang www.doa.gov.my untuk alternatif gantian kepada Chlorpyrifos ini kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor