KERAJAAN NEGERI PASTIKAN KELANCARAN DI PINTU MASUK ANTARABANGSA


Kerajaan Johor komited membantu rakyat Malaysia menetap dan bekerja di negara jiran, Singapura pulang dengan selamat dan selesa sempena perayaan Tahun Baru Cina | Gambar Hiasan.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited membantu rakyat Malaysia menetap dan bekerja di negara jiran, Singapura pulang dengan selamat dan selesa sempena perayaan Tahun Baru Cina.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, beberapa tindakan sudah dibincangkan untuk memastikan kelancaran aliran trafik keluar dan masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Terdapat beberapa tindakan yang telah saya bincangkan bersama agensi dan jabatan-jabatan bagi mengawal kelancaran aliran trafik keluar dan masuk pintu utama negara ini.

 

“Untuk maklumat, semua kaunter akan dibuka dan semua agensi akan memberikan komitmen penuh untuk melancarkan pergerakan di BSI dan KSAB sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru cina,” kata beliau.

 

Mohamad Fazli menzahirkan harapan semoga perbincangan, kerja keras dan komitmen semua pihak terlibat melancarkan perjalanan rakyat Malaysia untuk pulang bercuti.

 

“Kami cuba sedaya upaya untuk mengelakkan kesesakan di pintu masuk BSI dan KSAB. Semoga langkah yang telah disusun ini mampu untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan dan rakyat dapat merancang perjalanan,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor