PRIHATIN PENYEDIAAN PENGANGKUTAN AWAM EFISIEN, SELESA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan untuk menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa kepada Bangsa Johor.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Rapid Transit System (RTS) telah mencapai 24 peratus kemajuannya dan dijangka siap pada tahun 2026.

“Jumlah penumpang RTS dianggarkan secara 10,000 orang setiap jam dengan jangka masa perjalanan tren enam minit antara stesen.

“Dengan kapasiti ini, ia berupaya membantu mengurangkan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pengguna Tambak Johor,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Onn Hafiz berkata, inisiatif Bus Rapid Transit (BRT) yang telah dijenamakan semula kepada Iskandar Rapid Transit (IRT) kini status pembangunannya telah mencapai 23.98 peratus kemajuan kerja.

Ujar beliau, inisiatif baharu itu akan mengurangkan kesesakan jalan raya di sekitar bandar raya Johor Bahru selain memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

Selain itu, beliau memberitahu Bas Muafakat Johor (BMJ) telah dimanfaatkan seramai 11.3 juta pengguna terdiri daripada pelajar dan pekerja sektor swasta sejak dilancarkan hingga November lalu.

“Pihak kerajaan negeri juga akan sentiasa memperhalusi sebarang cadangan tambahan laluan baru bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor