RM14.5 JUTA PERUNTUKAN DISALURKAN KEPADA MASYARAKAT PELBAGAI KAUM


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan hampir RM14.5 juta kepada masyarakat Cina, India, Sikh dan lain-lain di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan tersebut merangkumi bantuan kepada sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rumah ibadat.

“Di samping itu, kerajaan negeri telah membiayai tapak khairat kematian masyarakat India di Pasir Gudang, yang pertama seumpamanya di Negeri Johor.

“Bantuan-bantuan lain juga diberikan kepada kuil-kuil, tokong dan juga gereja,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Onn Hafiz menegaskan bahawa pelbagai bantuan telah diberikan bukan hanya kepada masyarakat Cina, tetapi juga India, Sikh dan lain-lain.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, kerajaan negeri telah dan akan terus secara konsisten membantu Bangsa Johor tidak mengira bangsa, agama, darjat mahupun keturunan.

“‘We are colour blind when it comes to helping the people of Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor