PROGRAM INTEGRASI BELIA DAN SUKARELAWAN JOHOR SARAT PENGISIAN KEROHANIAN, KEMASYARAKATAN


Peserta Program Integrasi Belia dan Sukarelawan Johor yang diadakan di Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, Telok Blangah, Singapura, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kehadiran bulan Ramadan yang mulia dimeriahkan lagi dengan penganjuran Program Integrasi Belia dan Sukarelawan Johor di Masjid Temenggong Daeng Ibrahim di Telok Blangah disertai lebih 200 orang muda Johor selaku sukarelawan mewakili pelbagai persatuan dan pertubuhan seluruh negeri ini.

 

Program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) itu sarat dengan pelbagai pengisian rohani serta aktiviti kemasyarakatan yang menjadi platform mengeratkan silaturahim bersama jawatankuasa masjid dan warga Singapura.

 

Antara pengisian program yang turut disertai Yang Berhormat Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan) adalah aktiviti gotong royong menyediakan bubur lambuk dan juadah berbuka puasa serta ziarah Makam Temenggong Daeng Ibrahim.

 

Selain itu, rombongan program turut mengimarahkan 10 malam terakhir bulan Ramadan dengan mengadakan majlis khatam al-Quran dan tahlil ringkas diikuti mini forum perdana dan berbuka puasa sebelum menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih berjemaah.

 

Turut hadir, YBrs. Encik Saifuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura; Tuan Haji Yosree Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi JAINJ serta As-Syeikh Mohd Khairul Nizam Basar, Imam Masjid Temenggong Daeng Ibrahim.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor