PULAU KUKUP KEMBALI DIBUKA 17 MEI INI


Taman Negara Johor Pulau Kukup dibuka semula kepada pengunjung pada 17 Mei 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Salah satu destinasi ekopelancongan unggul di negeri ini, Taman Negara Johor Pulau Kukup yang ditutup sejak November 2021 akan dibuka semula kepada pengunjung terutama pencinta alam sekitar pada 17 Mei sekali gus kembali merancakkan lagi industri pelancongan daerah Pontian dan kegiatan ekonomi setempat.

 

Sebagai permulaan, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) mengehadkan kemasukan hanya 100 orang sehari ke pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia itu bagi memelihara spesis hidupan flora dan fauna serta demi keselamatan pengunjung yang merindui keunikan produk pelancongan alam semula jadi.

 

Usaha menambah baik destinasi pelancongan itu telah digerakkan oleh Kerajaan Johor menerusi peruntukan berjumlah RM600,000 bagi membina jeti sementara selain RM2.4 juta daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk baik pulih kerosakan serta mempertingkatkan kemudahan dan laluan ke pulau berkenaan.

 

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memperuntukkan RM20 juta untuk menaik taraf jeti utama dan Jambatan Sungai Ular di Taman Negara Johor Pulau Kukup yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun sekali gus bakal memberi wajah baharu menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Kerajaan Johor melalui PTNJ juga mengambil langkah proaktif dan signifikan menjalin kerjasama bersama pakar penyelidik dari institut pendidikan tinggi (IPT) bagi menjadikan Pulau Kukup sebagai lokasi kajian serta pendidikan paya bakau menerusi perancangan mewujudkan Pusat Penyelidikan Paya Bakau.

 

Terdahulu, kira-kira 90 pelajar dari lima sekolah sekitar kawasan Kukup menjadi kumpulan pertama yang dijemput berkunjung ke Taman Negara Johor Pulau Kukup sempena majlis pembukaan semula disempurnakan oleh YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, hari ini. Turut hadir, YBhg. Zainal Eran, Pegawai Daerah Pontian dan YBhg. Taufik Bahar, Pengarah PTNJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor