INDUSTRI PERABOT MAMPU DORONG PERTUMBUHAN EKONOMI : MENTERI BESAR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, industri berkenaan juga dilihat berkemampuan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat utama terpenting di rantau ini. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri berkeyakinan industri perabot di negeri ini, mampu mendorong pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, industri berkenaan juga dilihat berkemampuan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat utama terpenting di rantau ini.

“Industri perabot di Negeri Johor amat penting dan signifikan kerana daripada RM13.8 bilion jumlah nilai eksport perabot negara pada tahun 2022, Johor terus menjadi penyumbang nilai eskport perabot yang tertinggi negara iaitu sebanyak 70 peratus,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Pengilang Dan Peniaga Perabot Johor (JFA) diketuai oleh Presidennya, Steve Ong Yeou Huan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengarah Eksekutif TPM Technopark Sdn. Bhd., Ibrahim Abdul Samad; Ketua Pemasaran dan Jualan JLPro Sdn. Bhd., Salemy Arshat; Ahli-Ahli JFA serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

Onn Hafiz berkata, dalam perjumpaan tersebut, JFA telah menyuarakan pelbagai isu dan cadangan untuk diperhalusi oleh Kerajaan Negeri antaranya pembangunan sumber manusia dan pendidikan, teknikal dan bahan mentah serta pemasaran dan ekonomi.

“Kerajaan Negeri mengambil serius perkara-perkara yang dibangkitkan dan yakin dapat menyelesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Saya akan mempengerusikan lagi mesyuarat bulan hadapan bagi memastikan apa yang dibincangkan membuahkan hasil,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor