SENTIASA BERWASPADA, BERSIAP SIAGA – EXCO KERAJAAN JOHOR


EXCO Kerajaan Johor, Norlizah Noh mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Agama Pangkalan Batu, Mersing hari ini. | Sumber Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — EXCO Kerajaan Johor, Norlizah Noh mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Pangkalan Batu, Mersing hari ini.

Beliau yang juga ADUN Johor Lama berkesempatan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Selain itu, Norlizah turut menerima taklimat mengenai keadaan semasa banjir oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Mersing, Mohd Amirza Misnadi.

Turut bersama beliau adalah wakil dari Pejabat Daerah Mersing, Pusat Khidmat DUN Tenggaroh, Southern Volunteers (SV) serta Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Norlizah berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan untuk sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua sukarelawan dan jabatan serta agensi yang membantu pengurusan banjir kali ini.

“Sama-sama kita doakan agar semua mangsa dan petugas diberikan kemudahan dalam menghadapi situasi bencana banjir ini,” kata beliau menerusi posting dimuatnaik di Facebook rasminya, hari ini.

Norlizah turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berpotensi untuk banjir agar sentiasa berwaspada serta bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor