‘STREET OF HARMONY’, CERMINAN MUAFAKAT BANGSA JOHOR
Kira-kira 100 tahun lalu, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar telah berkenan untuk mengurniakan beberapa bidang tanah di Jalan Trus, Johor Bahru untuk dijadikan sebagai tapak rumah ibadat bagi beberapa agama di kawasan berkenaan.
Tidak lama kemudian, Baginda Tuanku Sultan Sir Ibrahim sekali lagi melakukan anjakan paradigma apabila memperkenalkan gagasan konsep Muafakat Bangsa Johor.
Hari ini, siapa sangka gagasan yang dilaksanakan oleh Baginda itu diteruskan oleh penyambung legasi bermula daripada Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
Kini KDYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut menitik beratkan konsep Bangsa Johor ini disamping ‘air tangan’ DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus menjadikan ia sebagai antara teras utama dalam membentuk identiti negara bangsa yang unggul.
Malah, tidak keterlaluan jika impian ini sebenarnya sudah terlaksana dan permuafakatan Bangsa Johor ini boleh dilihat di Jalan Trus, Johor Bahru yang menempatkan beberapa rumah ibadat di dalam satu kawasan yang sama.
Uniknya, walaupun berlainan agama, fahaman dan anutan, ia sama sekali tidak pernah menjadi garis pemisah untuk anggota masyarakat untuk hidup rukun aman damai dan penuh toleransi berpandukan konsep Bangsa Johor ini.
Presiden Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, V Raja Selan, berkata jika ditelusuri sejarah Johor Bahru terutama di Jalan Trus ini akan amat sinonim dengan jolokan sebagai ‘Street of Harmony’.
“Sebab apa ia menerima jolokan ‘Street of Harmony’ ini?. Ia disebabkan sejak zaman dahulu lagi apabila Almarhum Tuanku (Almarhum Sultan Sir Ibrahim) berkenan membenarkan dan memberi izin untuk membina church (gereja), tokong Cina, gudwara, kuil Hindu dan masjid yang terdapat di sepanjang jalan ini. Ia secara tidak langsung merealisasikan impian konsep Bangsa Johor yang diperkenalkan oleh Baginda.
“Atas sebab itu, (sebagai genarasi sekarang) kita di Johor dan rakyat Johor sepatutnya (berusaha sedaya upaya) untuk terus mengekalkan apa yang telah dilaksanakan oleh Almarhum Tuanku (dan pemerintah seterusnya),” katanya.
Raja Selan berkata, ikatan perpaduan berlandaskan gagasan Bangsa Johor ini bukan satu omongan atau rekaan khayalan kerana ia sudah dipraktikan oleh masyarakat berlainan agama di kawasan ini.
“Sebenarnya kami walaupun berlainan agama tetapi kami kerap bekerjasama dengan institusi agama yang lain. Contohnya baru-baru ini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melakukan ‘walkabout’ dan ia dijayakan oleh semua pihak pengurusan rumah ibadat di kawasan ini.
“Awal Ramadan lalu, pihak pengurusan Bazar Ramadan ada meminta bantuan untuk meminjamkan bekalan elektrik dari kuil ini kerana kelewatan penyediaan bekalan dari TNB dan kami tidak ada masalah untuk sama membantu. Bagi kami, Ramada pun kita sama-sama raikan dan Deepavali pun kita sama-sala saling berkunjung. Kami adalah Bangsa Johor,” katanya.
Atas alasan itu juga Raja Selan menasihatkan supaya rakyat Johor tidak dapat tidak, mesti menghormati Institusi DiRaja Johor yang telah memberi dan menjaga kebajikan seluruh bangsa dan agama yang terdapat di Johor di bawah indentiti Bangsa Johor.
“DYMM Sultan Johor dan DYAM Pemangku Sultan Johor sememangnya amat mengambil berat tentang Bangsa Johor ini. Jika berlaku sebarang isu berkaitan perkauman, sudah pasti Baginda berdua akan menjadi sosok insan pertama yang akan tampil menanganinya.
“Jadi, kita perlu berbangga dengan DYMM Tuanku Sultan dan DYAM Pemangku Sultan Johor yang begitu mengambil berat tentang rakyatnya,” katanya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor