APCW 2023: JOHOR JADI TUMPUAN USAHA DUNIA TANGANI PERUBAHAN IKLIM
Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 bakal melakar peristiwa penting ditandai dengan pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi Kerajaan Johor bersama pelbagai pemegang taruh.
MoU tersebut merangkumi pelbagai jenis kerjasama yang menampilkan inisiatif perkongsian sektor awam-swasta melibatkan agenda kelestarian termasuklah penubuhan Pusat Kelestarian Johor dan pelaksanaan ‘Johor Green Deal’.
DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah dijadualkan berangkat ke hari pertama APCW 2023 pada 13 November. Manakala Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dijemput merasmikan persidangan selain menyaksikan pemeteraian MoU dan melancarkan Pusat Kelestarian Johor dan ‘Johor Green Deal’.
Persidangan selama lima hari itu akan menampilkan lebih 300 penceramah yang membicarakan soal iklim selain menarik kehadiran lebih 2,000 delegasi dari 150 negara termasuklah ketua-ketua kerajaan, pembuat dasar dan pakar.
APCW 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 13 hingga 17 November ini yang dihoskan oleh Kerajaan Johor dengan kolaborasi Kerajaan Persekutuan merupakan anjuran Sekretariat Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), ‘UN Climate Change’.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor