PTG JOHOR TINGKAT KEUPAYAAN PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf Pejabat PTG Johor di Bangunan Dato’ Mohamad Salleh Perang, Kota Iskandar.. | Foto Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerja-kerja menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang 31 Julai ini, sekali gus mencerminkan iltizam dan komitmen Kerajaan Johor dalam usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Kerja penaiktarafan ini bukan sekadar melibatkan peningkatan fizikal bangunan, tetapi turut merangkumi perubahan menyeluruh dari aspek kapasiti pejabat, sumber manusia dan digitalisasi sistem termasuk pembukaan 12 kaunter baharu khusus bagi mengurus hak milik strata serta pengambilan 54 kakitangan tambahan bagi mempercepatkan proses kerja dan mengurangkan tempoh masa menunggu.
Menerusi pembaharuan ini, keupayaan pemprosesan urusan hak milik strata yang sebelum ini sekitar 120 folder sehari, kini mampu ditingkatkan kepada lima kali ganda iaitu sebanyak 600 folder sehari. Ia bukan sahaja mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat malah berjaya mengurangkan bebanan tunggakan kerja pentadbiran tanah negeri pada masa akan datang.
Selari dengan transformasi fizikal, PTG Johor juga turut memperkemas proses dalaman dengan memendekkan tempoh kelulusan permohonan hartanah oleh kepentingan asing daripada 70 hari kepada 21 hari, manakala urusan pindah milik hartanah tempatan pula dikurangkan daripada 14 hari kepada hanya tujuh hari.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.55 juta bagi menaik taraf portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) yang kini turut menyediakan beberapa ciri penting seperti e-serahan, e-carian dan e-consent, selain akses carian persendirian atas talian bagi hak milik strata juga tersedia dan bakal diperluas kepada hartanah berstatus ‘landed’.
Selain itu, sistem e-SBKS yang dibangunkan dengan peruntukan RM500,000 juga diyakini berupaya mempercepatkan proses ubah syarat, pecah sempadan dan pindah milik daripada 510 hari kepada hanya 53 hari, dengan pelancarannya dijadualkan pada September ini.
Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan cadangan semakan kadar fi dan bayaran berkaitan termasuk peningkatan Levi Kelulusan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing daripada dua peratus kepada tiga peratus, dengan kadar minimum dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM30,000, memandangkan kadar sedia ada telah diguna pakai sejak 2014 tanpa sebarang semakan semula sepanjang tempoh berkenaan.
Struktur baharu turut dicadangkan bagi bayaran pendaftaran pindah milik tanah untuk hartanah bernilai RM500,000 ke atas dengan tambahan RM500 bagi setiap kenaikan RM100,000. Ia berikutan kadar bayaran pendaftaran urus niaga pindah milik masih berpandukan Jadual JPU94 yang tidak pernah disemak sejak tahun 2004.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YBrs Tuan Mohammed Shakib Ali, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf Pejabat PTG Johor di Bangunan Dato’ Mohamad Salleh Perang, Kota Iskandar.
#TadbirUrusKerajaan
#PTGJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor