KERAJAAN JOHOR ZAHIR TAKZIAH PEMERGIAN TIGA BERADIK DI PONTIAN

YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, hadir ke Unit Forensik Hospital Pontian dan menziarahi keluarga mangsa di Kampung Parit Haji Siraj bagi menyampaikan ucapan takziah serta sokongan moral kepada keluarga. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beradik yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan lori muatan kelapa sawit di Parit Haji Siraj, Pontian, pagi ini.
Dua mangsa iaitu Allahyarham Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, dan Allahyarham Nordaniel Fikri Norlizan, 11, merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran, manakala seorang lagi mangsa ialah abang mereka, Allahyarham Nordanial Aiman Norlizan, 18.
Berdasarkan maklumat awal pihak sekolah, kedua-dua murid berkenaan hadir ke sekolah bersama abang mereka sebelum dimaklumkan bahawa sekolah ditutup selama dua hari susulan keadaan jerebu, sebelum mereka bertiga berpatah balik untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit, menyebabkan kedua-dua murid meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abang mereka dibawa ke Hospital Pontian sebelum disahkan meninggal dunia.
Keadaan persekitaran pada pagi kejadian dilaporkan berjerebu dan berkabus dengan jarak penglihatan yang terhad, namun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Susulan kejadian, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian akan memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga SK Parit Sapran yang terkesan dengan kejadian berkenaan, termasuk menggerakkan Guru Bimbingan dan Kaunseling serta pasukan sokongan psikososial.
Pihak sekolah dan PPD Pontian juga akan terus memberikan kerjasama kepada PDRM serta agensi berkaitan bagi membantu siasatan, manakala orang ramai diminta menghormati privasi keluarga mangsa dengan mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib bin Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, hadir ke Unit Forensik Hospital Pontian dan menziarahi keluarga mangsa di Kampung Parit Haji Siraj bagi menyampaikan ucapan takziah serta sokongan moral kepada keluarga.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


