HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI JOHOR DITANGGUH AKIBAT JEREBU

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 di Hotel Novotel, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Negeri Johor dan daerah yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara yang melanda negara termasuk di Johor pada ketika ini.
Keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan peserta sentiasa terpelihara berikutan kebanyakan aktiviti HSN akan melibatkan program sukan yang dibuat secara terbuka di kawasan luar.
Antara aktiviti yang dirancang pada HSN kali ini termasuk fun ride dan fun run, selain pelbagai program luar yang dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negeri ini.
HSN peringkat Negeri Johor sebelum ini menyasarkan penyertaan lebih 10,000 peserta dari 10 daerah dengan penganjuran peringkat negeri dijadualkan akan berlangsung di Hutan Bandar Mutiara Rini.
Penangguhan itu turut mengambil kira pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pendidikan (JPN) Negeri Johor, khususnya berhubung risiko menjalankan aktiviti luar ketika keadaan kualiti udara masih berada dalam keadaan tidak baik.
Penganjur dan agensi berkaitan akan menetapkan tarikh serta masa baharu bagi pelaksanaan HSN peringkat negeri serta daerah dan ia yang akan dimaklumkan kemudian.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 di Hotel Novotel, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#HariSukanNegara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



