KERAJAAN JOHOR SENTIASA BERSIAP SIAGA HADAPI BENCANA BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir sebelum Monsun Timur Laut (MTL) berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, langkah kesiapsiagaan itu diambil kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

“Kesiapsiagaan ini merangkumi penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyelenggaraan logistik, penyediaan stok bekalan bencana di semua stor bencana daerah.

“(Selain itu) mengemaskini senarai pembekal makanan bermasak di semua daerah dan pengemaskinian senarai petugas yang melibatkan warga kerja JKM dan sukarelawan kebajikan,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail mengenai perancangan JKM dalam memastikan tenaga kerja mencukupi dan bantuan dapat disalurkan segera bagi menghadapi bencana banjir.

Khairin-Nisa berkata, berdasarkan statistik JKM sehingga November lalu, terdapat seramai 457 petugas melibatkan pegawai dan kakitangan dari Unit Bencana, Pegawai Psikologi, Pasukan Sokongan Psikologi (PST) dan sukarelawan kebajikan di 10 daerah.

“Tambahan jumlah warga kerja di Ibu Pejabat JKM Negeri Johor dan tujuh institusi kebajikan di Negeri Johor iaitu seramai 413 orang yang juga akan bertugas di lapangan sekiranya ada keperluan.

“JKM Negeri Johor juga sentiasa menjalinkan kolaborasi yang erat bersama dengan agensi-agensi yang berkaitan supaya gerak kerja penyaluran bantuan-bantuan berjalan lancar sebaik sahaja PPS diaktifkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga melantik ahli jawatankuasa PPS bagi memastikan kecekapan dalam penyaluran bantuan.

Selain itu, ADUN Serom turut memaklumkan JKM melaksanakan latih amal dan simulasi pengurusan PPS pada September lalu, bagi memastikan semua agensi berkaitan memahami peranan dan tanggungjawab dalam melancarkan pengurusan mangsa.

“JKM juga telah menyediakan fasiliti penyimpanan bantuan bencana seperti satu fasiliti di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Muar, dua stor bencana negeri di Johor Bahru dan Mersing, 10 stor mini bencana daerah serta 12 stor pangkalan hadapan di Kluang dan Mersing,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor