JOHOR BERAZAM TINGKAT PERANAN SEBAGAI PEMACU EKONOMI
ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam, mengiringi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Singapura.
Lawatan tersebut bertujuan bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Onn Hafiz berkata, melalui lawatan sehari itu, kepimpinan dari Malaysia dan Singapura turut berbincang serta bersepakat dalam beberapa isu penting termasuk perkara yang membabitkan kepentingan bersama.
“Sebagai jiran dan negeri yang paling banyak berurusan dengan Singapura, Johor berazam untuk meningkatkan lagi peranannya sebagai pemacu ekonomi dalam merancakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya dalam Facebook rasminya.
Selain itu, Onn Hafiz memberitahu telah berkesempatan menyantuni warga Malaysia di Singapura yang terdiri daripada golongan profesional dan pelajar.
“Saya teruja dapat berjumpa mereka yang begitu rajin dan gigih untuk menimba pengalaman dan ilmu di luar negara, namun tetap bersemangat untuk pulang demi menyumbang kembali kepada masyarakat dan tanah air. Semoga dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor