JUMLAH MANGSA BANJIR TERUS BERKURANGAN


APM Daerah Segamat melakukan penyerahan kit makanan kepada penduduk di kawasan kampung yang terjejas semalam | Sumber gambar Facebook Angkatan Pertahanan Awam Daerah Segamat.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 1,521 orang daripada 419 keluarga masih ditempatkan di 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini, setakat jam 2 petang.

 

Jumlah tersebut menyaksikan penurunan yang ketara berbanding laporan terdahulu iaitu 2,138 orang daripada 602 keluarga di 22 PPS.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, sebanyak lima PPS ditutup setakat ini, dengan melibatkan satu di Segamat, tiga di Mersing dan satu di Kota Tinggi.

 

“PPS yang ditutup di Segamat adalah Balairaya Kampung Padang Kiambang, diikuti Politenik Mersing, Sekolah kebangsaan (SK) Bandar Mersing dan SK Tenglu di Mersing serta SK Telok Hutan Lesung di Kota Tinggi.

 

“Dari sudut jumlah mangsa banjir terkini pula, menyaksikan penurunan yang ketara iaitu seramai 617 orang daripada 183 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran hujan berterusan tahap Waspada di Mersing dan Kota Tinggi sehingga 1 Feberuari, setakat ini.

 

Berhubung jadual paras air sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan tiga sub-lembangan iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Bekok dan Sungai Endau berada pada aras Amaran.

 

Selain itu, dua laluan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh.

 

Manakala tiga laluan di Kota Tinggi iaitu Jalan Mawai Lama (J172) dan Jalan Kota Tinggi-Rengit (FT92) dibuka kepada kenderaan berat sahaja sementara Jalan Tanjung Sedili (FT212) hanya dibuka kepada kenderaan ringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor