AIR MATA IRINGI PERJALANAN TERAKHIR ALLAHYARHAM KOMANDER MUHAMAD AMIR


Jenazah Allahyarham Komander Muhamad Amir, 44, dibawa ke Tanah Perkuburan Islam FELCRA Bukit Kepong untuk disemadikan dan turut menerima istiadat penghormatan terakhir tentera mengikut tradisi TLDM. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Genangan air mata daripada ahli keluarga, rakan sepasukan, sahabat handai dan penduduk kampung mengiringi perjalanan terakhir kesatria negara, Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad Pegawai Pemerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke negeri abadi.

 

Terdahulu, Jenazah Allahyarham Komander Muhamad Amir, 44, tiba dari Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Masjid Al-Muqorrobin Kampung FELCRA Bukit Kepong, Muar pada jam 10.45 malam untuk disembahyangkan.

 

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam FELCRA Bukit Kepong untuk disemadikan dan turut menerima istiadat penghormatan terakhir tentera mengikut tradisi TLDM. Urusan pengkebumian berjaya disempurnakan kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi dengan diakhiri dengan bacaan talkin, tahlil dan doa.

 

Allahyarham Muhamad Amir meninggalkan seorang balu, Marliati Basri, 40, dan tiga anak berusia yang masing-masing berusia empat, 13 dan 16 tahun.

 

Hadir sama pada upacara pengkebumian itu ialah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Laksamana Muda Baharudin Wan Md Nor dan Panglima Simpanan, Laksamana Pertama Azeman Yusoff.

 

#TragediNahasHelikopter
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor