AKTIFKAN LALUAN KONTRA BAGI KELANCARAN BSI, KSAB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, laluan kontra itu khusus bagi pengembara menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam terutama ketika musim cuti sekolah atau cuti panjang. | Foto Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Pengurusan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) diminta mempertimbangkan pembukaan laluan kontra.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, laluan kontra itu khusus bagi pengembara menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam terutama ketika musim cuti sekolah atau cuti panjang.

 

Beliau meminta pengurusan BSI dan KSAB mempertimbangkan langkah itu untuk memastikan kesesakan luar biasa di pintu sempadan negara kerana cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu yang berlaku seperti sejak kelmarin, tidak berulang.

 

“Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Onn Hafiz turut memohon agar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terus memastikan kelancaran aliran trafik keluar masuk ke negara ini.

 

“Semoga anggota dan pegawai yang bertugas kekal cekal dan tabah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

 

“Selain itu pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua juga disaran untuk merancang perjalanan terlebih dahulu supaya tidak terperangkap dalam kesesakan di atas jalan. Semoga anda semua sampai ke destinasi dengan selamat,” kata Menteri Besar Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor