BEKALAN AIR SEMASA EMPANGAN JOHOR MEMUASKAN
ISKANDAR PUTERI — Kesemua 16 empangan di negeri ini, memiliki bekalan air semasa di tahap memuaskan dalam menghadapi ancaman musim kemarau El-Nino.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, namun, lima Loji Rawatan Air (LRA) dijangka terkesan jika kemarau panjang berlaku.
Menurutnya, kelima-lima LRA tersebut berada di daerah Kota Tinggi, Kulai, Johor Bahru dan Mersing.
“Pihak Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) telah menyiapkan beberapa projek fizikal di samping langkah bersiap-sedia bagi memastikan musim kemarau ini tidak menjejaskan sumber bekalan air.
“Koordinasi seterusnya akan dilakukan secara bersama dengan pihak operator bagi memastikan sebarang kemungkinan dapat diatasi secara lebih cekap dan sistematik,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Fazli menerima taklimat daripada BAKAJ diketuai pengarahnya, Natazha Hariss mengenai persediaan menghadapi ancaman musim kemarau El-Nino.
Dimaklumkan, kebanyakan model iklim menjangkakan peralihan ke El-Nino bakal berlaku sekitar Mei hingga Julai tahun ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor